APA ITU BEKAM?


                                           


Beberapa bulan yang lepas, seorang ahli keluarga saya (sepupu) sering mengadu sakit kepala dan sakit di bahagian muka iaitu di pelipis dan pipi. Sakit yang dirasakan berdenyut-denyut dan kadang kala membuat hidung beliau tersumbat hinggakan mengganggu aktiviti seharian beliau. Selepas pemeriksaan di sebuah klinik, doktor menjelaskan yang beliau mengalami masalah resdung dan mencadangkan rawatan secara pengambilan ubat-ubatan terdiri dari antibiotic, ubat alahan serta pengambilan nasal spray.

Setelah mengambil ubat-ubatan selama 2 bulan akhirnya sepupu saya ingin mencuba kaedah bekam sepertimana yang disarankan oleh seorang pengamal perubatan tradisional. Pada mulanya kami berdua agak skeptical memandangkan pandangan peribadi seorang doktor yang kami kenali tidak begitu menggalakkan prosedur ini dilakukan kerana menurut doktor tersebut belum ada bukti yang jelas penyakit resdung boleh diubati dengan berbekam.


Namun begitu, sepupu saya tetap meneruskan hasrat beliau dan setakat ini, beliau telah melalui 4 kali rawatan dan secara zahirnya memang terdapat perubahan di mana kekerapan sakit kepala semakin berkurangan dan jerawat batu di muka juga semakin tiada. Beliau juga dapat bernafas lebih selesa dan mendapat tidur yang lebih berkualiti.

Adakah bekam benar-benar membantu di dalam proses penyembuhan ini atau pun ianya hanyalah satu kaedah perubatan tradisional yang mengandungi amalan serta pantang larang yang bertindak mengurangkan kesan penyakit? Mari kita kenali apa itu BEKAM.

Bekam adalah kaedah membuang toksin dengan mengeluarkan darah kotor dari permukaan kulit sepertimana yang diamalkan Rasulullah SAW dan para sahabat. Diperkuatkan dengan beberapa hadis sahih yang menjelaskan mengenai rawatan bekam, ia dikatakan sebagai kaedah yang boleh membantu mengubati segala penyakit.

Bekam sudah wujud sejak zaman purba Greek ribuan tahun dahulu dan pada zaman Nabi Muhammad SAW para pengamal menggunakan tanduk kerbau atau sapi, tulang unta dan gading gajah.

Orang-orang di Eropah pula dikhabarkan menggunakan lintah sebagai alat berbekam. Pada satu masa, 40 juta lintah diimport ke negara Perancis untuk tujuan itu. Lintah-lintah itu dilaparkan tanpa diberi makan. Jadi bila ditempelkan pada tubuh manusia yang sakit, dia akan terus menghisap darah tadi dengan efektif. Setelah kenyang, lintah tersebut tidak berupaya lagi untuk bergerak, lantas jatuh dan mengakhiri penghisapannya.

JENIS-JENIS BEKAM

BEKAM KERING

Bekam kering juga disebut sebagai bekam angin, metod bekam ini adalah menyedut permukaan kulit tanpa mengeluarkan darah dari dalamnya. Bekam ini biasa digunakan untuk mengatasi rasa nyeri yang disebabkan oleh reumatik dan rasa nyeri yang terjadi di punggung. Bekam jenis ini akan meninggalkan bekas bekam berupa lebam warna merah kehitam-hitaman pada tempat yang dibekam dan akan hilang beberapa hari kemudian.

BEKAM BASAH

Bekam basah adalah sebuah metod bekam yang dilakukan dengan melakukan bekam kering dulu kemudian permukaan kulit yang dibekam dilukai dengan jarum yang disterilkan, kemudian disedut dengan menggunakan alat cupping set dan hand pump untuk mengeluarkan darah kotor melalui luka yang dibuat dengan jarum tadi. Biasanya dilakukan selama 3 hingga 5 minit dan tidak boleh lebih dari 9 minit. Penyedutan darah dapat dilakukan sebanyak maksima 7 kali dan tidak boleh lebih. Biasanya pada bahagian yang disedut akan mengeluarkan darah berwarna merah kehitaman dan berbuih.
Selepas berbekam, pada 3 jam yang pertama tidak boleh terkena air dan bekam cara ini juga tidak boleh kerap dilakukan dan diunjurkan jarak waktu selama 3 minggu sekali.

BEKAM API


Kadang disebut sebagai Fire Cupping, seperti namanya bekam ini menggunakan medium api sebagai bahan untk membuat ruangan hampa pada alat penyedut. Bekam ini dilakukan dengan gelas yang direkabentuk khusus untuk membuat ruang hampagas pada kawasan bekam. Udara di dalam gelas dibakar dengan menggunakan kertas atau kapas terbakar dan kemudian gelas akan ditempelkan ke permukaan kulit.



Di Malaysia, walaupun rawatan bekam semakin meluas terutama di pusat-pusat rawatan bekam dan pusat rawatan kecantikan, namun masih terdapat kebimbangan dalam kalangan masyarakat untuk mengamalkannya. Keadaan ini timbul berikutan terdapat kekeliruan daripada andaian-andaian negatif antaranya perempuan tidak perlu berbekam kerana akan mempercepatkan proses menopaus, berbekam akan menyebabkan darah bertambah kurang, ketagihan untuk berterusan melakukan bekam selain tidak yakin kaedah itu mampu menyembuhkan penyakit terutama penyakit-penyakit kronik.


FAEDAH BERBEKAM

  • Membantu menghilangkan pening dan migrain.
  • Membantu membuang angin dalam badan, melegakan pernafasan dan sistem perkumuhan.
  • Membantu memecahkan lemak.
  • Membantu memulihkan ketegangan urat leher, belikat, pinggang dan urat sendi di kaki.
  • Membantu mencegah kebas kaki dan membantu meredakan serangan angin ahmar.
  • Mengeluarkan darah toksik dan melancarkan peredaran darah tersumbat.
  • Kesemua faedah yang dinyatakan di atas adalah bergantung kepada individu. Ada yang mengalami salah satu atau pun sebahagian darinya. Rawatan hendaklah dibuat beberapa kali sehingga menampakkan hasil.
  • Kesan Sampingan Bekam


Sepertimana kaedah perubatan lain, bekam juga mempunyai kesan sampingan sekiranya tidak dilakukan dengan kaedah yang betul. Antara kesan sampingan yang boleh timbul ialah jangkitan kuman serta penularan penyakit yang disebabkan oleh peralatan yang tidak disteril.

Kepada yang ingin mencuba kaedah rawatan bekam hendaklah terlebih dahulu mendapatkan khidmat nasihat dari pengamal perubatan tradisional serta doktor anda. Umumnya, individu yang tidak digalakkan untuk berbekam ialah wanita mengandung, wanita haid, wanita yang kerap keguguran, individu yang terlalu lemah, orang tua uzur, pengidap kanser darah, pengidap tekanan darah rendah serius dan pengidap penyakit kulit serius.




0 comments:

Post a Comment