APA ITU Bid'ah




  1. Ta’rif Bid‘ah Dari Segi Bahasa 
Bid‘
 dari segi bahasa diambil dari kata بَدَعَ . Berkata Ibn Manzur (ابن منظور) rahimahullah:

بدع الشيءَ يَبدَعُه بَدعا، وابتدعهُ: أنشأه وبدأه.
Telah membuat sesuatu bid‘ah (past tense), sedang membuatnya (present tense) dan bad‘an (masdar/ kata terbitan) bererti mengadakan dan memulakan.
Berkata Muhammad bin Abi Bakr al-Razi rahimahullah:

بدع الشيء: اخترعه لا على مثال.

Membuat bid‘ah sesuatu bermaksud mengadakannya tanpa ada suatu contoh.


Dalam al-Mu’jam al-Wajiz disebutkan hampir sama seperti di atas iaitu mengadakan sesuatu tanpa contoh sebelumnya. Demikian kesemua mu’jam bahasa arab menyebut makna yang hampir sama. Inilah bid‘ah dari segi bahasa iaitu membuat sesuatu yang belum ada contoh sebelumnya. 



    2.  Ta’rif Bid‘ah Dari Segi Istilah


Ta’rif (definisi) yang baik bagi perkataan bid‘ah dari segi istilah ialah ta’rif yang dikemukakan oleh al-Imam Abu Ishaq al-Syatibi (الشاطبي)rahimahullah (790H) dalam kitabnya yang masyhur berjudul al-I’tishom (الاعتصام). Kebanyakan para pengkaji bersetuju bahawa al-Syatibi telah mengemukakan ta’rif jami’ danmani’ ( جامع ومانع). &nbp; Antaranya Dr. Ibrahim bin ‘Amir al-Ruhaili dalam tesis Ph.Dnya ketika membandingkan beberapa ta’rif yang dibuat oleh beberapa tokoh terdiri daripada Ibn Taimiyyah, al-Syatibi, Ibn Rajab dan al-Sayuti rahimahumullah, menyimpulkan bahawa ta’rif al-Syatibi adalah yang paling terpilih. al-Syatibi mena’rifkan bid‘ah sebagai:

طريقة في الدين مخترعة تضاهي الشرعية يقصد بالسلوك عليها المبالغة في التعبد لله سبحانه
Jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai syariah, tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.
  • Huraian al-Imam al-Syatibi Terhadap Ta’rif Bid‘ah 


al-Imam al-Syatibi rahimahullah setelah memberikan ta’rif ini, tidak membiarkan kita tertanya-tanya maksudnya, sebaliknya beliau sendiri telah menghuraikan maksud ta’rif ini. Di sini dinyatakan beberapa poin penting huraian al-Imam al-Syatibi:


Pertama:

Dikaitkan jalan (طريقة) dengan agama kerana rekaan itu dilakukan dalam agama dan perekanya menyandarkan kepada agama. Sekiranya jalan rekaan hanya khusus dalam urusan dunia ia tidak dinamakan bid‘ah, seperti membuat barangan dan kota. Oleh kerana jalan rekaan dalam agama terbahagi kepada apa yang ada asalnya dalam syariat dan kepada apa yang tiada asalnya dalam syariat, maka dimaksudkan dengan ta’rif ini ialah bahagian rekaan yang tiada contoh terdahulu daripada al-Syari’ (Pembuat syariat iaitu Allah Subhanahu wa Ta'ala).


Ini kerana ciri khas bid‘ah ialah ia terkeluar daripada apa yang digariskan oleh al-Syari’. Dengan ikatan ini maka terpisahlah (tidak dinamakan bid‘ah) segala yang jelas – sekalipun bagi orang biasa – rekaan yang mempunyai kaitan dengan agama seperti ilmunahu, saraf, mufradat bahasa, Usul al-Fiqh, Usul al-Din dan segala ilmu yang berkhidmat untuk syariat. Segala ilmu ini sekalipun tiada pada zaman yang awal, tetapi asas-asasnya ada dalam syarak.

Justeru itu, tidak wajar sama sekali dinamakan ilmu nahu dan selainnya daripada ilmu lisan, ilmu usul atau apa yang menyerupainya yang terdiri daripada ilmu-ilmu yang berkhidmat untuk syariat sebagai bid‘ah. Sesiapa yang menamakannya bid‘ah, sama ada atas dasar majaz (bahasa kiasan) seperti ‘Umar bin al-Khattab radhiallahu 'anh yang menamakan bid‘ah solat orang ramai pada malam-malam Ramadhan, atau atas dasar kejahilan dalam membezakan sunnah dan bid‘ah, maka pendapatnya tidak boleh dikira dan dipegang


Kedua:

Maksud (تضاهي الشرعية) ialah menyerupai jalan syarak sedangkan ia bukanlah syarak pada hakikatnya. Bahkan ia menyanggahi syarak dari beberapa sudut:

Antaranya: Meletakkan batasan-batasan seperti seseorang yang bernazar untuk berpuasa berdiri tanpa duduk, berpanas tanpa berteduh, membuat keputusan mengasing diri untuk beribadah, menghadkan makanan dan pakaian dari jenis tertentu tanpa sebab.

Antaranya: Beriltizam dengan cara (kaifiyyat كيفيات ) dan bentuk (haiat هيئات ) tertentu.Ini seperti zikir dalam bentuk perhimpunan dengan satu suara, menjadikan perayaan hari lahir Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan seumpamanya.

Antaranya: Beriltizam dengan ibadah tertentu dalam waktu tertentu sedangkan tidak ada penentuan tersebut dalam syarak. Ini seperti beriltizam puasa pada hari NisfuSya’ban dan bersolat pada malamnya.

Kemudian bid‘ah-bid‘ah tersebut disamakan dengan perkara-perkara yang disyariatkan. Jika penyamaan itu adalah dengan perkara-perkara yang tidak disyariatkan maka ia bukan bid‘ah. Ia termasuk dalam perbuatan-perbuatan adat kebiasaan

Ketiga:

Maksud (يقصد بالسلوك عليها المبالغة في التعبد لله): “Tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah” ialah menggalakkan ibadah. Ini kerana Allah berfirman:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. [al-Zariyat 51:56] 

Seakan-akan pembuat bid‘ah melihat inilah tujuannya. Dia tidak tahu bahawa apa yang Allah tetapkan dalam undang-undang dan peraturan-peraturan-Nya sudah memadai.

Seterusnya al-Imam al-Syatibi menjelaskan: 

Telah jelas dengan ikatan ini (yang dijelaskan) bahawa bid‘ah tidak termasuk dalam adat. Apa sahaja jalan yang direka di dalam agama yang menyerupai perkara yang disyariatkan tetapi tidak bertujuan beribadah dengannya, maka ia terkeluar dari nama ini (bid‘ah).

0 comments:

Post a Comment